Selasa, 11 Januari 2022

Doa untuk mendapat kemanisan iman

 


Mendapat Kemanisan Iman

عَنْ أَنَسِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ


Dari Anas R.A bahawa Nabi SAW bersabda: “Tiga perkara yang apabila wujud pada diri seseorang, maka dia mendapat kemanisan iman iaitu: 

1) Apabila Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai olehnya daripada selain kedua-duaNya. 

2) Apabila dia mencintai seseorang yang dia tidak cintai melainkan hanya kerana Allah. 

3) Apabila dia benci untuk kembali kepada kekufuran (setelah beriman) seperti dia benci jika dicampakkan ke dalam neraka” (Hadis Riwayat Bukhari)

Silah Bin Asyyam, terlibat dengan pembukaan Kabul. Ketika waktu malam, semua tentera kepenatan dan berehat. Silah pun berpura-pura tidur. Bila semua tidur, beliau bangkit dan cari tempat untuk mengadu kepada Allah. Pemerhati tentera mengenali susuk tubuhnya. Ini seorang tabiin. Jika beliau memohon hujan turun, hujan akan turun. Pemerhati perbatasan memerhati Silah dari jauh bermunajat kepada Allah. Mengadu semua hal kepada Allah. Silah bangun tahajud, walau penat seharian bertugas, beliau gembira untuk bertemu Allah, keseronokkan beribadah mengatasi segala perkara. Lebih seronok dari seorang pengantin lelaki bertemu pasangannya di malam pertama. 

Pengawal di perbatasan melihat dari jauh ada seekor harimau di belakang mengaum berdekatan Silah. Terkejutlah dan ketakutanlah dia, tetapi harimau itu cuma duduk di sebelah Silah. Dan Silah tak perasan kerana tenggelam dalam kenikmatan beribadah kepada Allah. Sewaktu beliau sedar ada harimau berdekatan dirinya. Beliau cuma berkata kepada harimau itu, " wahai hamba Allah, pergilah engkau. Kami mujahidun, kami kepenatan sedang berehat di waktu malam, pergilah engkau ke dalam hutan. Banyak makanan buatmu di sana, janganlah kau ganggu para mujahidun ini."

Harimau itu berlalu dalam kepekatan malam. Lalu Silah menyambung solatnya. Langsung tidak ada rasa takut pada dirinya. Menghampiri Subuh, beliau kembali ke tempat tidurnya dan buat-buat tidur sedangkan sepanjang malam beliau bertahajud. Beliau melakukan itu agar menjauhi sifat ujub dan riak. Kisah ini di ceritakan oleh Imam Zahabi.

Cara suburkan kemanisan/kelazatan iman:

1.Berusaha ajak diri taat kepada Allah. Banyakkan baca La hau la wa la quwwata illa biLlahil aliyil adzhim. Minta kepada Allah supaya kembalikan semangat dan motivasi dalam diri kita. Orang yang berjihad itu adalah orang yang merasai kemanisan beribadah kepada Allah. Maksiat itu seronoknya sesaat, sesalnya berabad.

Kata Imam Ibnu Rajab Al Hambali dalam Jamik Al Ulum Al Hikam. Jiwa itu bagai tunggangan, jika kau bersemangat ia juga akan bersemangat

2. Jauhkan dosa besar dan kecil. Maksiat adalah dinding beribadah kepada Allah. Yang menghalang kita beribadah kepada Allah adalah dosa kita kepada Allah kata Imam Hassan Al Basri. Dosa menyebabkan hati jadi hitam. Kalau tak dapat kemanisan dalam hati dalam beramal hendaklah berwaspada akannya. Kalau buat dosa tak bertaubat, akan menjauhkan kita dari Allah dan menyebabkan kita tak mampu beribadah dan beramal.

3. Jangan terlalu ambil tahu dalam sesuatu hal. Jaga hati, mata, mulut dari ambil perkara yang berlebihan. Kalau makan berlebihan juga tidak elok. Makan lebih, buat badan berat, malas beribadah dan tak mahu menambah ilmu.

Ibnu Qayyim berkata, orang yang banyak berbakti berada dalam syurga yang penuh kenikmatan, orang banyak derhaka berada dalam neraka. Orang yang tak dapat syurga di dunia, tidak akan merasai syurga di akhirat. Apa itu syurga dunia, ianya adalah kenal Allah, berbakti kepadaNya, berbuat segala perkara semata-mata untukNya kerana kita menyakini bahawa kita akan pulang kepadaNya.

4. Perhatikan segala ibadah untuk menggapai redha Allah.

5. Ibadah adalah tabungan akhirat. Semua amalan adalah asbab untuk jadi rahmat dan kasih sayang Allah di akhirat. Kita tak masuk syurga kerana amalan kita tapi di mana nak datangnya rahmat Allah kalau tidak beribadah kepada Allah. Ibarat seorang anak yang di janjikan kereta oleh ayahnya jika cemerlang dalam peperiksaan. Bila dia dapat keputusan cemerlang, dia terus ke show room kereta untuk ambil kereta. Tentulah dia tidak dapat ambil sebab duitnya tak ada. Yang janji tu ayahnya, maka kena minta ayah belikan. Begitulah bidalannya.

Jauhkan diri dari sifat ujub, riyak dan takbur dalam beribadah kerana ianya akan menghakis kemanisan dan kualiti beribadah kepada Allah.

Banyakkan berdoa dengan doa:

اللَّهُمَّ إنِّي أسْألُكَ الهُدَى ، والتُّقَى ، والعَفَافَ ، والغِنَى


Ertinya: Ya Allah, Sesungguhnya aku memohon kepadaMu petunjuk, ketakwaan, kemulian diri dan kekayaan.”


0 ulasan:

Catat Ulasan